Waktu sekolah kekal

Filed under: by: din3187


TIMBALAN Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengadakan sidang media mengenai laporan keputusan pengajaran, pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah dan menengah dilaksanakan semula dalam Bahasa Malaysia mulai 2012 sambil diperhatikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr. Puad Zakarshi (dua kanan) dan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom (kanan). - Foto Afendi Mohamed

Masa subjek lain dipendekkan untuk mantap Bahasa Inggeris

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran semalam menjelaskan waktu persekolahan tidak akan dipanjangkan walaupun masa pengajaran dan pembelajaran subjek Bahasa Inggeris (BI) ditambah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, sebaliknya berkata masa pembelajaran sesetengah subjek akan dipendekkan dalam pelaksanaan strategi baru untuk memartabatkan Bahasa Malaysia (BM) dan memantapkan BI.

Beliau memberi contoh waktu pembelajaran muzik antara yang akan dipendekkan dan masa berkenaan dipindahkan kepada pengajaran BI.

"Pelajar tidak akan terbeban dengan pelaksanaan ini, malah waktu persekolahan tidak dilanjutkan," katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini. Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan semula dalam BM, manakala di sekolah jenis kebangsaan Cina serta Tamil dalam bahasa ibunda masing-masing mulai 2012.

Berikutan itu, BI akan dimantapkan dengan pertambahan waktu pembelajaran subjek berkenaan.

Mengenai penyediaan buku teks terutama bagi pelajar yang telah mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam BI (PPSMI), Alimuddin berkata, ia mungkin dicetak dalam dwi-bahasa untuk mengelakkan timbul masalah di kalangan pelajar.

Beliau juga berkata, setakat ini kementerian belum membuat keputusan berhubung cadangan melaksanakan peraturan mewajibkan pelajar lulus BI dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagaimanapun, katanya, melalui ribuan e-mel dan maklum balas yang diterima setakat ini, 80 peratus menyatakan persetujuan berhubung perkara itu tetapi dengan syarat kementerian mesti menyediakan guru BI terlatih serta kemudahan pembelajaran yang efisien.

Mengenai pengambilan lebih 13,000 guru BI termasuk 600 yang sudah bersara, Alimuddin berkata, guru bersara boleh memohon terus kepada kementerian dan akan tempatkan di kawasan mereka tinggal supaya tidak perlu berpindah.

"Saya rasa ramai yang akan memohon kalau diberi peluang. Jika mereka ditempatkan di kawasan sendiri, saya rasa kita tidak ada masalah untuk dapatkan 600 orang yang disasarkan," katanya.

Alimuddin juga berharap ibu bapa menyokong usaha kerajaan memantapkan BI, termasuk menyediakan bahan bacaan di rumah atau menggunakan teknologi, maklumat dan komunikasi.

"Saya cadangkan ibu bapa menyediakan sekurang-kurangnya akhbar berbahasa Inggeris di rumah, majalah, novel atau buku bahasa Inggeris kepada anak-anak," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kerajaan memperuntukkan kira-kira RM5 bilion untuk memperkasakan pengajaran dan pembelajaran BI di sekolah rendah serta menengah bagi tempoh 2011 hingga 2015.

"Peruntukan itu akan membiayai pelaksanaan pelbagai langkah untuk memantapkan penguasaan BI, termasuk pengambilan guru asing terutama dari United Kingdom dan Australia," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen.

Ketika ini, 34,767 guru BI mengajar di sekolah rendah dan menengah seluruh negara.

Mengenai pengambilan guru dari kalangan graduan universiti swasta, Mohd Puad berkata, perkara itu akan dibincang dengan Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran supaya ada kolaborasi antara kedua-dua pihak terutama berhubung latihan praktikal.

Mohd Puad berkata, ada juga cadangan supaya kementerian mewujudkan Institut Pendidikan Guru khusus untuk BI dan setakat ini sebuah pusat latihan di Nilai akan menjadi pusat kecemerlangan bagi melahirkan guru pakar dalam bahasa itu.

Mengenai bayaran insentif subjek pendidikan (BISP) berikutan pemansuhan PPSMI, beliau berkata, guru Sains dan Matematik tidak akan menerima bayaran itu mulai 2012 yang berjumlah kira-kira RM40 juta setahun.

Ketika ini, 61,040 guru Matematik mengajar di sekolah rendah dan 26,389 di sekolah menengah, manakala 46,946 guru Sains di sekolah rendah dan 25,781 di sekolah menengah.

"Lebih baik wang yang kita belanjakan bagi PPSMI seperti BISP, digunakan untuk menterjemahkan lebih banyak buku rujukan dalam bahasa Melayu bagi kegunaan pelajar. Institut Terjemahan Negara Malaysia di bawah kementerian ada keupayaan dan pakar yang profesional," katanya.

Mengulas kekeliruan orang ramai mengenai tempoh tiga tahun bagi memansuhkan PPSMI, Mohd Puad berkata, langkah itu mesti dilaksanakan secara `tertib' supaya tidak berlaku kejutan.

Beliau berkata, kementerian juga tidak akan mempertimbangkan cadangan supaya PPSMI dilaksanakan pada peringkat sekolah menengah.

Sains dan Matematik dalam BM, bahasa ibunda satu dasar realistik

Filed under: by: din3187

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diumumkan hari ini mendapat reaksi positif pelbagai pihak.

Cendekiawan, ahli politik, ahli akademik, pendidik malah pelajar sendiri menyifatkan langkah itu sebagai sesuatu yang realistik ke arah memperkukuh kedudukan Bahasa Inggeris dan pada masa yang sama mendaulatkan bahasa Melayu.

Dr Chandra Muzaffar, Profesor Kursi Nordin Sopiee Pengajian Global Universiti Sains Malaysia berkata apa yang perlu dilakukan sekarang ialah meningkatkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris mulai dari peringkat sekolah rendah sehingga ke menara gading dalam usaha melahirkan generasi Malaysia yang fasih dalam kedua-dua bahasa itu.

Katanya kaedah pengajaran bahasa Inggeris sama ada di sekolah rendah dan menengah juga perlu dikaji semula selain menggunakan saluran media yang ada secara efektif dengan mengadakan program belajar bahasa itu melalui radio, televisyen dan internet selain mengedarkan DVD.

Veteran Umno dan tokoh pejuang bahasa Tan Sri Abdul Aziz Tapa berkata keputusan kerajaan itu amat penting dalam usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan yang telah diperjuangkan sejak 1952.

Penggunaan bahasa kebangsaan juga mudah untuk menyatukan rakyat dan ia selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap konsep 1Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, bahasa Inggeris adalah bahasa kedua yang utama yang tidak boleh diabaikan dan perlu dikuasai oleh rakyat.

Presiden Parti Gerakan Tan Dr Koh Tsu Koon berkata keputusan itu adalah konsisten dengan pendirian parti itu bahawa pengajaran dan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam Bahasa Malaysia atau bahasa ibunda di sekolah rendah adalah lebih berkesan berbanding dalam bahasa Inggeris.

Presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu berkata, MIC bersetuju dengan keputusan kerajaan memandangkan ia juga permintaan daripada Majlis Pengetua Sekolah Tamil supaya kedua-dua mata pelajaran itu diajar dalam bahasa Tamil.

"Walaupun terdapat peningkatan bagi kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris di sekolah Tamil, anggota majlis itu bersetuju supaya ia diajar dalam Bahasa Tamil," katanya.

Ketua Penerangan Umno Ahmad Maslan berkata keputusan itu membuktikan bahawa kerajaan sentiasa memastikan bahawa dasar yang dibuat memberi manfaat kepada rakyat di negara ini.

"Dengan perubahan ini, maka Bahasa Malaysia akan sentiasa dimartabatkan dan pada masa yang sama Bahasa Inggeris akan terus dimantapkan. Bahasa Malaysia adalah suatu alat terpenting bagi perpaduan rakyat negara ini selaras dengan Gagasan 1Malaysia," katanya.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr George Chan berpendapat Kementerian Pelajaran perlu mencari alternatif lain supaya pelajar dapat menguasai Bahasa Inggeris yang merupakan bahasa pertuturan global, sebagai usaha mengukuhkan pengajaran dan pembelajarannya di semua peringkat persekolahan.

"Sebenarnya kita mesti fasih dalam Bahasa Inggeris terutamanya apabila kita mahu memasuki dunia global tetapi saya berpendapat pengajaran dan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam Bahasa Inggeris bukan satu-satunya cara untuk menguasai bahasa itu," katanya.

Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena) Tan Sri Profesor Emeritus Ismail Hussein berkata, keputusan itu adalah tindakan yang bijaksana tetapi kerajaan juga perlu memberi penekanan kepada Bahasa dan Kesusasteraan Melayu.

"Kami suka menekankan supaya perhatian yang lebih diberikan kepada bahasa Kebangsaan, kesusasteraan dan budaya Melayu dalam konteks yang lebih luas di peringkat global," katanya.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata berdasarkan keputusan yang dibuat pada Persidangan Perwakilan NUTP Ogos tahun lalu, pengajaran Sains dan Matematik bagi pelajar sekolah menengah perlu dikekalkan.

"Berdasarkan kepada keputusan Persidangan Perwakilan NUTP pada Ogos 2008, memang kita membuat keputusan untuk mengajar sains dan matematik bagi sekolah rendah dalam bahasa ibunda dan bagi sekolah menengah untuk terus menggunakan Bahasa Inggeris.

"Sebagai guru dan kesatuan guru kami sudah berjaya dalam 50 peratus daripada perjuangan kami. Namun demikian, selepas kerajaan membuat keputusan, NUTP berpendapat sebagai penjawat awam kita terpaksa ikut polisi itu," katanya.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia''s (PKPIM), Mohd Hilmi Ramli berkata: "PKPIM menyambut baik keputusan itu dan menyifatkan ia sebagai satu interpretasi komitmen kerajaan untuk mempertahankan dan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan," katanya.

Sumber : - Bernama

Ketagih kafe siber

Filed under: by: din3187


BEBERAPA pelajar lengkap seragam sekolah bermain permainan video dan melayari laman web sosial di sebuah kafe siber di Wangsa Maju, baru-baru ini.

Pelajar dan kanak-kanak bawah umur ponteng sekolah gilakan permainan komputer, web lucah



KEWUJUDAN kafe siber banyak memberi manfaat kepada masyarakat terutama dalam menghambat perkembangan pesat era teknologi maklumat dan komunikasi kini supaya tidak ketinggalan dek arus pembangunan.

Namun kafe siber yang beroperasi 24 jam dan membenarkan pelajar apatah lagi dengan pakaian seragam sekolah serta kanak-kanak berusia bawah 12 tahun memasuki premis itu harus diberi perhatian serius oleh pihak berwajib.

Lebih parah, ada di kalangan bawah umur itu sanggup ponteng sekolah semata-mata untuk menghabiskan masa di kafe siber kerana ketagih antara lain bermain permainan video dan tidak kurang pula melayari web lucah.

Tinjauan Berita Harian di beberapa kafe siber di Cheras dan Wangsa Maju mendapati kanak-kanak bawah 10 tahun juga bebas keluar masuk premis kafe siber lengkap dengan pakaian sekolah tanpa sebarang sekatan dilakukan.

Berdasarkan pemerhatian, kafe siber bercermin gelap menjadi tumpuan pelajar sekolah untuk mengakses kemudahan internet bagi mengelak kegiatan ponteng mereka dihidu guru, ibu bapa dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Umum mengetahui sebelum ini majoriti PBT mengetatkan syarat untuk operasi pusat siber termasuk mengehadkan aktiviti utamanya kepada aktiviti penyebaran dan mendapatkan maklumat melalui internet.

Selain itu pihak berkenaan melarang aktiviti berbentuk hiburan diadakan dan menetapkan masa beroperasi hanya sehingga pukul 12 tengah malam.

Peraturan lain adalah larangan merokok dalam premis dan terhadap pelajar berpakaian seragam sekolah memasuki premis, terutama pada waktu persekolahan.

“Ibarat mencurah air ke daun keladi’ adalah perumpamaan paling tepat bagi menggambarkan kedegilan pelajar sekolah mahupun pihak pengusaha premis yang tidak mengendahkan syarat ditetapkan PBT.

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut, penulis turut bertanya beberapa pengunjung kanak-kanak yang kerap mengunjungi kafe siber biarpun pada waktu persekolahan.

Seorang yang hanya mahu dikenali sebagai Amran, 16, berkata dia sanggup tidak makan tengah hari semata-mata jimatkan wang perbelanjaan sekolah untuk bermain permainan video dalam talian di kafe siber sambil merokok.

“Saya habis hampir RM5 sehari untuk melayari internet selepas waktu persekolahan dan kadang-kadang saya akan ‘serong’ (ponteng) untuk ke mari,” katanya.

Walaupun mulanya enggan menceritakan perkara sebenar, Amran kemudian memberitahu dia bukan saja datang ke kafe siber untuk bermain permainan video, malah kerap melayari laman web lucah untuk memuat turun gambar atau video pendek.

“Saya sudah ketagih melayari laman web lucah selepas melihat pelanggan yang lebih dewasa melayarinya,” katanya.

Rakannya, Halim, 16, pula menjelaskan ibu bapa dan guru tidak menyedari perbuatannya yang kerap ke kafe siber kerana dalam seminggu, ia hanya sekali dua pada waktu persekolahan.

“Jika pulang lambat ke rumah, saya beritahu ibu bapa ada kelas tambahan dan aktiviti kokurikulum, walhal setiap hari saya dan rakan-rakan ke kafe siber untuk bermain permainan video atau melayari laman web lucah.

“Antara permainan video paling popular ialah ‘Left or Death’, ‘Counter Strike’, ‘Super Dancer Online’, ‘Sudden Attact’, ‘Warcraft Dota’, ‘Half Life’ dan ‘Wolf Team’.

“Saya juga sering melawat laman web sosial bagi golongan dewasa popular iaitu ‘myspace.com’ dan ruang sembang ‘Kampung Chat’ dengan menyamar sebagai orang lebih berumur untuk memikat gadis,” katanya.

Sementara itu, Guru Sekolah Kebangsaan Bangsar, Mohd Haniff Anas, berpendapat polis perlu kerap membuat rondaan, manakala pengusaha kafe siber pula perlu tegas dengan tidak membenarkan pelajar berpakaian seragam sekolah memasuki premis mereka selain menyekat laman web lucah.

“Jika tertangkap pihak sekolah akan beri amaran dan panggil pelajar untuk sesi kaunseling.

“Bagaimana pun agak sukar untuk menentukan sama ada pelajar itu ponteng atau tidak kerana mereka akan menukar pakaian sebelum masuk ke premis, tambahan pula bagi sesi persekolahan berbeza (pagi dan petang).

“Jika hendak mencari maklumat mengenai kerja sekolah, ia boleh dibuat di makmal komputer sekolah kecuali di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan,” katanya.

Bagaimana guru matematik negara China majukan diri

Filed under: by: din3187


Artikel penolong professor Matematik di Borough of Manhattan Community College, University of New York, Annie Han mendapati beberapa kajian menunjukkan pencapaian pelajar asia dalam subjek matematik lebih baik berbanding pelajar Amerika Syarikat. ini dibuktikan dalam penyelidikan yang diperoleh daripada 3rd International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan National Assessment of Educational Progress (NAEP). Malah prestasi pelajar Amerika dikatakan makin merosot berasaskan dapatan dalam kajian ini.

Berbeza dengan para pelajar di asia khususnya China, prestasi mereka meningkat dan mampu mencapai kompetensi subjek matematik. Berdasarkan dapatan beliau semasa melawat China, kesungguhan cikgu Matematik di Beijing adalah dibantu dengan sistem on-job-training semasa perkhidmatan. Pengajaran dan pembelajaran matematik yang diajar dalam bahasa ibunda, tidak menafikan kecekapan para pelajar dan guru mereka. Di antara strategi yang dijalankan bagi mengekalkan keupayaan dan kecekapan mengajar adalah:

  1. Susunan meja guru yang disusun secara dua set di dalam satu bilik. Set pertama adalah untuk guru-guru matematik manakala satu set lagi disusun untuk guru-guru bahasa. Susunan sebegini dapat meningkatkan interaksi di kalangan guru berlainan subjek dan sesama subjek bagi merencanakan strategi mengajar yang efektif dan berkongsi masalah pelajar yang dihadapi.
  2. Sikap dan etika para guru yang datang lebih awal setengah jam ke sekolah digunakan sebagai masa untuk menyediakan bahan bantu mengajar, hal-hal pengurusan, menyemak kerja pelajar dan menyelesaikan masalah disiplin pelajar.
  3. Bagi memantapkan kemahiran mengajar guru-guru. Setengah hari diambil seminggu diadakan latihan dalam perkhidmatan khususnya pengajaran dan pembelajaran. Semua latihan akan dikendalikan oleh guru-guru pakar yang bertauliah bagi melatih guru-guru baharu dan senior.
  4. Mereka menghadiri kesemua latihan yang diberikan tetapi latihan ini bukan bertujuan untuk mendapatkan jam kredit kursus, kenaikan gaji atau mendapat sijil. Semua latihan yang disertai semata-mata bagi meningkatkan kecekapan mengajar di kelas serta menangani masalah pelajar.

Walau pun menggunakan bahasa ibunda, kecekapan guru dan pelajar di China masih mampu memajukan dunia sains dan teknologi mereka. Bukan bahasa yang menjadi penentu kejayaan namun strategi yang ampuh dapat menjayakan pendidikan anak bangsa.

Pelajar baru UTM wajib jalani saringan H1N1

Filed under: by: din3187

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengambil langkah proaktif dengan mewajibkan semua pelajar baru yang mendaftar mulai esok menjalani saringan virus selesema babi atau influenza A (H1N1).

Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, langkah berkenaan diambil bagi menghalang penularan wabak itu di kalangan warga kampus.


PEGAWAI Kesihatan UTM membuat pemeriksaan kesihatan ke atas pelajar baru dari Libya, Naira Saleh bagi mengesan jangkitan virus H1N1 di UTM Skudai, Johor Bahru, semalam.


Menurutnya, semua pelajar baru wajib menjalani saringan virus H1N1 sebelum pendaftaran dan jika didapati demam mereka akan dihantar terus ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).

"Bagi pelajar yang akan mendaftar tetapi mengalami demam atau simptom virus berkaitan, mereka dibenarkan menangguhkan pendaftaran sehingga sembuh.

"Mereka perlu menghubungi pihak universiti untuk memaklumkan mengenai penangguhan pendaftaran dan mengemukakan surat pengesahan daripada pegawai perubatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zaini berkata, UTM akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Johor jika ada mahasiswa yang didapati dijangkiti H1N1 untuk mengekang penyebaran virus berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya telah menubuhkan task force di kampus Skudai dan Kuala Lumpur yang dianggotai kakitangan daripada pelbagai jabatan bagi menyediakan pelan tindakan mencegah penyebaran wabak berkenaan.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di UTM Skudai mendapati persiapan untuk membuat penyaringan virus tersebut giat dijalankan.

Poster mengenai wabak itu turut ditampal di kawasan kampus dan beberapa pelajar termasuk pelajar antarabangsa didapati melihatnya.

Terdapat juga pelajar yang menjalani pemeriksaan perubatan di Pusat Kesihatan UTM sekali gus disaring bagi mengesan sama ada mereka terkena virus itu.

Kredit BM syarat lulus SPM wajar

Filed under: by: din3187

KUALA LUMPUR 21 Jun - Cadangan mewajibkan pelajar lulus di peringkat kredit bagi mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) sebagai syarat layak memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) amat wajar dilaksanakan.

Presiden Persatuan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, ia berupaya menjadi penanda aras kepada penguasaan lebih baik bahasa kebangsaan itu di kalangan pelajar.

''Ia tidak sukar dilaksanakan dan tidak membebankan pelajar kerana sepatutnya kita sebagai rakyat Malaysia mahir menguasai bahasa Melayu,'' katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas syarat Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) yang bersetuju dengan cadangan mewajibkan calon SPM perlu lulus Bahasa Inggeris jika kerajaan memenuhi lapan tuntutan mereka.

Gapena antaranya mahu BM diwajibkan lulus peringkat kredit untuk mendapat SPM.

Mohamad Ali berkata, PIBGN menyokong penuh cadangan Gapena itu kerana ia akan dapat memperkukuhkan penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad yang turut menyokong cadangan itu yakin langkah tersebut akan meningkatkan mutu dan prestasi pelajar menguasai mata pelajaran itu.

''Bahasa Melayu juga akan dapat dimartabatkan ke tahap lebih baik sekiranya langkah ini dilaksanakan,'' katanya.

Respons: Tiada lagi ikon pelajar cemerlang SPM

Filed under: by: din3187

TENTU ramai yang masih ingat pencapaian cemerlang pelajar SMK Ulu Tiram, Johor, Nur Amalina Che Bakri, yang berjaya mencatat 17 1A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2004.

Kejayaan itu menjadikan Nur Amalina muncul sebagai pelajar yang mencatat 1A paling banyak dalam sejarah SPM, yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana pelajar sebelum ini.

Sejak kejayaan Nur Amalina itu, ramai pelajar berazam dan mahu menyaingi pencapaiannya, sekali gus mendorong mereka mengambil seberapa banyak mata pelajaran yang termampu di peringkat SPM. Ada calon yang mengambil sehingga 21 mata pelajaran.

Kementerian Pelajaran juga tidak mengehadkan bilangan subjek yang ingin diduduki pelajar ketika itu kerana langkah mereka tidak menampakkan sebarang kesan negatif.

Pada tahun-tahun berikutnya menyaksikan beberapa pelajar mencapai kejayaan lebih cemerlang berbanding Nur Amalina. Antara mereka yang cemerlang itu ialah seorang pelajar lelaki dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan Kedah, Azli Azlan, yang mencatat 20 1A dan 1 2A pada 2007.

Pada SPM tahun lalu pula seorang anak nelayan dari Kota Bharu, Kelantan, Nik Nur Madihah Nik Omar, muncul sebagai pelajar cemerlang dengan mencatat 20 A.

Walaupun pencapaian Nik Nur Madihah tidak dapat mengatasi rekod pencapaian Azlan, namun kejayaannya cukup dikagumi kerana dia datang dari keluarga yang miskin dan bapanya hanyalah seorang nelayan, tetapi segala kekurangan hidup tidak menghalang Nik Nur Madihah untuk mencacat keputusan yang luar biasa.

Kejayaan cemerlang pelajar-pelajar berkenaan cukup membanggakan kita, apatah lagi mereka adalah anak Melayu yang kemampuan mereka sering diperlekeh dan dikatakan tidak mampu bersaing dengan pelajar kaum lain. Terbukti terdapat anak Melayu yang mampu mengatasi kaum lain dengan kejayaan yang lebih cemerlang dan secara tidak langsung mereka telah menaikkan imej pelajar Melayu.

Kejayaan mereka mendapat liputan meluas semua media tempatan, sekali gus menjadikan mereka dikenali dalam sekelip mata, mengatasi populariti penyanyi terkenal. Nama mereka ‘dijual’ ke seluruh negara dan dijadikan ikon golongan pelajar yang harus dicontohi.

Mereka menjadi simbol kegigihan pelajar yang bercita-cita besar dan mahu melakukan sesuatu yang luar daripada kebiasaan dalam peperiksaan.

Bagaimanapun tidak semua yang melihat pencapaian membanggakan itu sebagai kejayaan yang sihat. Ada pihak, termasuk pakar motivasi menyifatkan calon yang mengambil terlalu banyak mata pelajaran hanya membebankan diri sendiri dan tidak harus menjadi amalan atau ikutan.

Sebaliknya pelajar dinasihatkan memadai dengan mengambil setakat 10 mata pelajaran atau paling banyak 12 mata pelajaran.

Perkembangan itu kini bukan saja dikatakan membebankan pelajar, malah mendatangkan masalah kepada Kementerian Pelajaran, terutama dalam membuat tawaran biasiswa kerajaan kepada pelajar yang layak.

Sekolah Berasrama Penuh (SBP) misalnya menetapkan pelajarnya hanya boleh mengambil 10 subjek dan sudah pasti pelajarnya tidak dapat menyaingi pelajar sekolah lain yang memberi kebebasan kepada pelajarnya mengambil seberapa banyak subjek yang mereka mampu.

Selain itu, mereka juga tidak mahu pelajar terlalu menumpukan kepada pelajaran semata-mata sehingga tidak mempunyai masa untuk membabitkan diri dalam kegiatan kokurikulum dan menimba kemahiran insaniah yang lain.

Sejajar dengan itu, semalam Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah mengumumkan mulai tahun depan semua calon SPM hanya dibenarkan mengambil 10 mata pelajaran. Pengumuman itu adalah susulan daripada kenyataan beliau minggu lalu yang mahu mengehadkan bilangan subjek yang boleh diambil calon dalam SPM.

Dengan pengumuman itu, kini sah bahawa selepas ini tidak akan ada lagi pelajar yang mampu mencatat keputusan luar biasa dengan bilangan A melebihi 10 mata pelajaran. Keputusan itu mungkin akan boleh memudahkan lagi pihak kementerian membuat pemilihan untuk menawarkan biasiswa kepada pelajar yang layak.

Bagaimanapun langkah berkenaan mungkin sukar untuk dilaksanakan di sekolah aliran agama kerana mereka bukan saja mempelajari subjek biasa berdasarkan kurikulum Kementerian Pelajaran, malah mereka juga mengikuti subjek lain termasuk Bahasa Arab serta yang berteraskan keagamaan.

Kita percaya terdapat segelintir pelajar yang kurang bersetuju dengan langkah mengehadkan bilangan subjek kerana keputusan itu dianggap menyekat cita-cita mereka untuk mencatat kejayaan lebih baik berbanding pelajar lain.

Comments