Pelajar baru UTM wajib jalani saringan H1N1

Filed under: by: din3187

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengambil langkah proaktif dengan mewajibkan semua pelajar baru yang mendaftar mulai esok menjalani saringan virus selesema babi atau influenza A (H1N1).

Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, langkah berkenaan diambil bagi menghalang penularan wabak itu di kalangan warga kampus.


PEGAWAI Kesihatan UTM membuat pemeriksaan kesihatan ke atas pelajar baru dari Libya, Naira Saleh bagi mengesan jangkitan virus H1N1 di UTM Skudai, Johor Bahru, semalam.


Menurutnya, semua pelajar baru wajib menjalani saringan virus H1N1 sebelum pendaftaran dan jika didapati demam mereka akan dihantar terus ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).

"Bagi pelajar yang akan mendaftar tetapi mengalami demam atau simptom virus berkaitan, mereka dibenarkan menangguhkan pendaftaran sehingga sembuh.

"Mereka perlu menghubungi pihak universiti untuk memaklumkan mengenai penangguhan pendaftaran dan mengemukakan surat pengesahan daripada pegawai perubatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zaini berkata, UTM akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Johor jika ada mahasiswa yang didapati dijangkiti H1N1 untuk mengekang penyebaran virus berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya telah menubuhkan task force di kampus Skudai dan Kuala Lumpur yang dianggotai kakitangan daripada pelbagai jabatan bagi menyediakan pelan tindakan mencegah penyebaran wabak berkenaan.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di UTM Skudai mendapati persiapan untuk membuat penyaringan virus tersebut giat dijalankan.

Poster mengenai wabak itu turut ditampal di kawasan kampus dan beberapa pelajar termasuk pelajar antarabangsa didapati melihatnya.

Terdapat juga pelajar yang menjalani pemeriksaan perubatan di Pusat Kesihatan UTM sekali gus disaring bagi mengesan sama ada mereka terkena virus itu.

0 comments:

Comments